ZURICH: Satu mayat ditemui pada glasier yang mencair di pergunungan Switzerland.
Polis mengesahkan penemuan itu adalah pendaki Jerman yang hilang sejak 1986.
Media The Guardian melaporkan, pendaki gunung itu hilang ketika menyeberangi glasier berhampiran Gunung Matterhorn hampir 40 tahun lalu, dan akhirnya mayatnya dijumpai dalam ais yang mencair.
Menurut polis, dua pendaki menemui satu mayat pada 12 Julai lalu ketika mendaki di sepanjang Theodul Glacier di Zermatt, Valais, selatan Switzerland.
Pencairan glasier mendedahkan mayat itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai pendaki Jerman.
Polis dari Kanton Valais dalam satu kenyataan berkata, analisis menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membawa kepada pengecaman identiti seorang pendaki gunung yang hilang sejak 1986.
Polis bagaimanapun tidak memberikan maklumat tambahan mengenai identiti pendaki atau keadaan kematiannya.
Mereka hanya menerbitkan gambar tapak penemuan, but mendaki dengan tali merah melekat di salji.
Polis berkata, analisis forensik dijalankan ke atas mayat di Hospital Valais di bandar Sion, dan pakar mengaitkannya dengan kehilangan pendaki itu pada 1986.
Sekurang-kurangnya 300 orang dilaporkan hilang di pergunungan Alps sepanjang abad lalu, menurut anggaran beberapa pihak.