PARIS: Sambutan hari pekerja di beberapa negara berubah wajah apabila dicemari keganasan.
Sekurang-kurangnya 108 polis cedera dan 290 orang ditahan ketika keganasan meletus di beberapa bandar di Perancis.
Protes yang dipimpin kesatuan buruh itu menyaksikan jumlah luar biasa dengan ratusan ribu hadir di kira-kira 300 demonstrasi di seluruh negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Gérald Darmanin berkata, di Paris polis berdepan perusuh yang sangat ganas yang mengugut untuk membunuh pegawai polis selain mencuri harta benda.
Dalam pada itu, menurut pemimpin Kesatuan Pekerja, Sophie Binet, penunjuk perasaan tidak akan berhenti sehingga langkah terbaharu kerajaan berkaitan pencen ditarik balik.
Rakyat juga menuduh Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan kerajaannya hanya memekakkan telinga terhadap tuntutan mereka.
Populariti Macron menjunam hampir ke paras terendah, selepas majoriti rakyat Perancis menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kepimpinannya.