NEW DELHI: Pemimpin pembangkang India, Rahul Gandhi memperoleh semula kerusi parlimen beliau selepas sabitan kes fitnahnya digantung pada Jumaat oleh Mahkamah Agung negara itu.
Rahul yang mewakili Wayanad di Dewan Rakyat Lok Sabha hilang kelayakan sebagai ahli parlimen susulan sabitan pada Mac oleh sebuah mahkamah di Gujerat berhubung kenyataannya yang dianggap menyinggung perasaan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Pemimpin parti kongres berusia 52 tahun itu dijatuhi hukuman penjara dua tahun berhubung ucapan pada 2019, berbaur sindiran dan menyamakan nama ‘keluarga Modi dengan penyamun’.
Ia dengan kepada taikun berlian Nirav Modi dan bekas Ketua Liga Perdana India, (IPL), Lalit Modi.
Kembalinya Rahul ke parlimen berlaku pada saat yang genting ketika penggubal undang-undang akan memulakan perbahasan mengenai usul tidak percaya terhadap kerajaan Parti Bharatiya Janata, (BJP) yang diketuai oleh Modi.
Meskipun BJP boleh menolak usul itu, ahli parlimen pembangkang berhasrat memberi tentangan sihat dan akan cuba mengheret kerajaan atas pelbagai isu.