BOGOTA: Ecuador bersiap sedia menghadapi pilihan raya presiden pada Ahad, meskipun dilanda krisis keselamatan yang belum pernah berlaku sebelum ini, lapor Agensi Anadolu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan dua calon — Luisa Gonzalez, mewakili Parti Revolusi Rakyat dan jutawan Daniel Noboa.
Gonzalez yang memperoleh 34 peratus undi pada pusingan awal pada Ogos, berikrar untuk mengembalikan semula program sosial yang diperkenalkan oleh mentornya, bekas Presiden yang dibuang negeri Rafael Correa, serta menggunakan rizab antarabangsa berjumlah US$2.5 bilion bagi memulihkan ekonomi.
Noboa, anak kepada ahli politik Alvaro Noboa dan sebelum ini bukan menjadi pilihan utama.
Beliau berikrar untuk mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya untuk golongan belia, menarik pelaburan asing dan menggunakan teknologi bagi memerangi peningkatan jenayah.
Calon yang dipilih menjadi presiden bakal berdepan tugas getir untuk menangani krisis jenayah yang semakin berleluasa di Ecuador, dengan kadar pembunuhan meningkat sebanyak 245 peratus dari 2020 hingga 2022, menurut Open Democracy yang berpangkalan di UK.
Kempen pilihan raya sebelum ini dicemari dengan pembunuhan calon antirasuah Fernando Villavicencio pada 9 Ogos.
Villavicencio, bekas wartawan yang sering mengkritik mengenai kaitan pegawai kerajaan dengan jenayah terancang.
Lebih 13 juta rakyat dijangka melaksanakan tanggungjawab mereka memilih presiden baharu bagi menggantikan Lasso yang membubarkan Parlimen selepas terpalit dengan tuduhan rasuah.
Presiden baharu akan memegang jawatan selama 16 bulan sebelum kemungkinan pemilihan semula pada 2025.