comscore
Tumpuan :
Luar Negara

[VIDEO] Perang Israel-Palestin: Majlis Keselamatan PBB buntu capai resolusi

KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sekali lagi gagal mencapai keputusan berhubung perang Israel-Palestin ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Russia dan China menggunakan kuasa veto terhadap resolusi Amerika Syarikat (AS) yang mengusulkan supaya perang dihentikan seketika bagi membolehkan penyaluran bantuan kemanusiaan ke kawasan konflik dan perlindungan ke atas penduduk.

Menurut Al Jazeera dan agensi berita antarabangsa, resolusi AS, sekutu rapat Israel itu juga untuk mendapat sokongan bagi menghentikan penyaluran senjata kepada Hamas dan kumpulan pejuang lain di Gaza.

Dalam deraf resolusinya, AS dilihat lebih berlembut selepas kumpulan diplomat menyuarakan rasa terkejut atas kegagalan kuasa besar dunia itu mengiktiraf krisis kemanusian di Gaza, selain kenyataan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri.

Daripada 15 anggota UNSC, 10 mengundi untuk resolusi berkenaan, manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengundi tidak setuju. Brazil dan Mozambique pula mengambil tindakan berkecuali.

Diplomat menyatakan ‘gencatan untuk kemanusiaan’ yang mungkin hanya bagi tempoh beberapa jam, tidak sama dengan gencatan senjata, pendirian yang disokong oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Selepas pengundian, UNSC mengundi pula untuk resolusi Rusia yang menggesa gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan, selain mahu Israel menarik balik arahan supaya orang awam di Gaza berpindah ke selatan sebelum serangan darat dilancarkan.

Ia percubaan kedua Rusia, namun gagal mendapat sokongan mencukupi apabila hanya memperoleh empat undian. Percubaan pertamanya pada 16 Oktober lalu untuk mengutuk keganasan di Asia Barat pula hanya mendapat sokongan lima ahli majlis.
Sementara itu, Duta UAE ke PBB, Lana Nusseibeh, yang menyokong resolusi Russia, berkata UNSC perlu bertindak balas ‘sepenuhnya’ bagi menangani situasi yang teruk di Gaza, manakala Duta Malta, Vanessa Frazier, berkata 10 anggota UNSC kini merancang draf resolusi baharu.

Terdahulu pada 18 Oktober, resolusi Brazil juga mendapat tentangan AS melalui veto, yang mendakwa ia kurang menekankan sepenuhnya hak Israel untuk mempertahankan diri, manakala Russia dan United Kingdom (UK) berkecuali.

Di tengah-tengah kebuntuan UNSC, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang dianggotai 193 negara anggota akan mengundi pada Jumaat mengenai draf resolusi yang dikemukakan negara Arab dan lain-lain yang menggesa disegerakan gencatan senjata.

Dalam UNGA, tiada negara yang memegang kuasa veto dan walaupun resolusi yang dikemukakan tidak mengikat, ia masih membawa kesan secara politik.

Israel sebelum ini menegaskan mahu menghapuskan Hamas yang mengawal Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan 7 Oktober di mana kumpulan pejuang itu didakwa membunuh 1,400 orang dan menawan sekurang-kurangnya 200 orang.

Rejim berkenaan bertindak mengepung Gaza dan menyebabkan 2.3 juta penduduk dibom tanpa henti, manakala pihak berkuasa Palestin mendakwa, lebih 6,500 terbunuh sejak perang bermula tiga minggu lalu. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini