WARSAW: Penyerang menggunakan isyarat radio untuk menghentikan 25 kereta api penumpang di Poland, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik pengendali kereta api Poland, PKP.
Menurut jurucakapnya, perjalanan kereta api di empat wilayah terhenti pada kira-kira pukul 1 tengah hari (1100 GMT) pada Selasa. Tindakan itu tidak menimbulkan bahaya kepada penumpang dan semua kereta api dapat meneruskan perjalanan dengan sedikit kelewatan.
Beberapa serangan terhadap rangkaian kereta api Poland berlaku sejak beberapa hari lepas. Kereta api berfungsi sebagai laluan pengangkutan utama bantuan tentera Barat ke Ukraine. Tidak jelas sama ada serangan itu bermotifkan politik.
Polis di Bialystok telah menahan dua lelaki pada Ahad dan penyiasat menemukan peralatan radio daripada mereka. Suspek, seorang daripadanya pegawai polis, didakwa menghentikan lima kereta api penumpang dan satu kereta api barang pada pagi Ahad.
Kereta api juga dihentikan di barat Poland. Lagu Rasmi Rusia didengari semasa kereta api terhenti selain ucapan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Pakar keselamatan siber Lukasz Olejnik berkata secara teknikalnya, perbuatan itu mudah dilakukan. Teknologi radio tanpa penyulitan masih digunakan dalam kebanyakan kereta api Poland.
“Untuk menghentikan kereta api, anda hanya perlukan penjana nada dan radio yang mengeluarkan jujukan tiga nada dua kali berturut-turut pada frekuensi tertentu.
“Isyarat sedemikian mencetuskan injap dalam sistem brek udara berhenti secara mengejut.” Jurang keselamatan dalam sistem kereta api Poland ini telah diketahui dan berlaku serangan serupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Olejnik. – BERNAMA-dpa