Tumpuan :
Luar Negara

Pengguna lapor isu antara muka selepas Twitter laksana had tontonan

Foto RUETERS

WASHINGTON: Pengguna antara muka (interface) popular Twitter, TweetDeck, melaporkan masalah untuk mengaksesnya selepas pemilik Twitter Elon Musk mengehadkan jumlah tweet yang boleh dilihat setiap hari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

The Verge, bersama pelbagai pengguna di platform itu, termasuk pelanggan Twitter Blue, melaporkan mereka berhadapan antara muka yang kosong dan bukannya aliran tweet biasa.

Masalah merangkumi pelbagai aspek antara muka, dengan pemberitahuan, sebutan, suka dan senarai, gagal dimuatkan.

Walaupun pengguna berhadapan isu Twitter pada hujung minggu, masalah dengan TweetDeck secara khusus menimbulkan cabaran kepada pengguna profesional dan berkuasa yang sangat bergantung kepada platform untuk mewujudkan jenama, mempromosi kerja dan menggunakannya sebagai alat pelaporan untuk bilik berita.

Isu-isu itu dipercayai berkaitan dengan had pada tontonan baru-baru ini seperti yang diumumkan oleh Elon Musk pada 1 Julai.

Musk memetik keperluan untuk menetapkan had “sementara” ini bagi menangani kebimbangan pengikisan data yang berlebihan dan manipulasi sistem pada platform.

Akaun yang disahkan, biasanya pelanggan Twitter Blue, pada mulanya dihadkan untuk melihat 6,000 tweet setiap hari, manakala akaun lain dihadkan pada 600 atau 300 tweet berdasarkan umur akaun mereka.

Musk kemudiannya menambah had tweet untuk pelanggan yang disahkan kepada 10,000, manakala had pengguna lain ditetapkan antara 500 dan 1,000.

Setakat pagi Isnin, laman sesawang dan apl utama Twitter berfungsi seperti biasa, dengan isu khususnya menjejaskan TweetDeck.

Had tontonan diperkenal sehari selepas Twitter mula menyekat pengguna tidak berdaftar daripada mengakses tweet atas sebab yang sama. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini