comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Penggiat seni dakwa ditindas kerana sokong Palestin

FOTO: OLIVIA COLMAN FAN PAGE / Instagram

BIRMINGHAM: Lebih 1,300 artis dan penggiat seni, termasuk pelakon Olivia Colman menandatangani surat membantah tindakan institusi kesenian Barat yang seolah-olah menindas dan tidak adil terhadap mereka yang menyuarakan sokongan untuk Palestin.

“Kami berasa sangat bimbang dan sejujurnya perbuatan itu jelas menunjukkan sikap berat sebelah, ungkapan solidariti dengan mudah diberikan kepada rakyat lain yang menghadapi penindasan dan kekejaman tetapi tidak kepada rakyat Palestin,” lapor Agensi Anadolu, memetik kandungan surat itu.

Mereka berkata percanggahan itu menimbulkan persoalan serius tentang kecenderungan terhadap pelanggaran hak asasi manusia.

“Jauh sekali untuk menyokong seruan kami untuk mengakhiri kekerasan, sebaliknya banyak institusi budaya di negara-negara Barat secara sistematik menindas, membisu dan melabel mereka yang bersuara dan memberikan pandangan mengenai Palestin.

“Ini termasuk mengecam dan mengancam mata pencarian artis dan pekerja seni yang menyuarakan solidariti dengan Palestin, serta pembatalan persembahan, tayangan, pameran dan pelancaran buku,” kata mereka.

Antara penggiat seni yang terlibat, termasuk Deborah Frances-White, Kamila Shamsie, Marina Warner, Lara Pawson, Abbie Spallen, Camilla Whitehill, Daisy Lafarge, Malika Booker, dan Emily Berry.

“Walaupun berdepan tekanan, mereka tetap terus bersuara. Kebebasan bersuara, seperti yang termaktub dalam Akta Hak Asasi Manusia dan Konvensyen Eropah Hak Asasi Manusia adalah tulang belakang kehidupan kreatif kami…,” kata mereka.

Menerusi surat itu, mereka turut menyeru pertubuhan seni untuk menyertai seruan gencatan senjata berkekalan diwujudkan dan berdiri teguh bagi artis dan pekerja yang menyuarakan sokongan mereka terhadap hak Palestin.– BERNAMA-ANADOLU

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini