comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Pegawai polis kepung Perdana Menteri Haiti di lapangan terbang

Foto: AP

MOSCOW: Anggota polis yang mengadakan bantahan di Port-au-Prince turut bertindak menyerbu lapangan terbang di bandar itu dan mengepung Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry, lapor Sputnik memetik penyiar Radio Tele Metronome pada Khamis.

Menurut laporan itu, polis mendakwa Henry bertanggungjawab atas kematian enam pegawai dalam serangan bersenjata di ibu pejabat polis di bandar Liancourt pada Rabu.

Semalam, penghadang termasuk tayar yang dibakar telah didirikan di seluruh Port-au-Prince.

Mereka dilaporkan menyerbu lapangan terbang berkenaan sejurus pemimpin itu tiba di tanah air selepas menghadiri sidang kemuncak di Argentina.

Perdana menteri itu dilaporkan terpaksa meninggalkan lapangan terbang melalui pintu belakang.

Di Port-au-Prince, pegawai polis tanpa mengenakan pakaian seragam bertindak menyerbu pejabat perdana menteri dan kediaman peribadi, melepaskan tembakan ke udara dan memecahkan cermin depan beberapa kenderaan milik kerajaan.

Penyiar melaporkan bahawa perdana menteri yang dikawal ketat pasukan keselamatan Haiti dan asing telah meninggalkan lapangan terbang ke lokasi yang tidak diketahui.

Haiti mengalami krisis sosio-politik jangka panjang dan keadaan semakin meruncing selepas pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada 2021.

Agensi penguatkuasaan undang-undang negara kekurangan kakitangan dan bergelut untuk mengekang jenayah di negara itu. – BERNAMA

Loading...
Terkini