NAGANO: Pasukan penyelamat di Wilayah Nagano, Jepun mula dikerahkan awal pagi tadi bagi mempergiat operasi mencari dan menyelamat dua lelaki warga asing yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan salji sewaktu bermain ski, semalam.
Menurut kenyataan oleh polis tempatan, runtuhan salji berlaku di Gunung Hakuba Norikura turut menyebabkan tiga lagi warga asing tertimbus namun mampu melepaskan diri dan seterusnya menuruni bukit dengan selamat.
Setakat ini, identiti dan kewarganegaraan kedua-dua individu terbabit belum dapat dikenal pasti.
Hasil maklumat awal mendapati kedua-dua mangsa adalah sebahagian daripada dua kumpulan berasingan yang bermain ski di gunung setinggi 2,469 meter itu.
Dalam pada itu, Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan amaran runtuhan salji sudah dikeluarkan terlebih dahulu sebelum kejadian. – REUTERS