RAFAH: Pihak berkuasa Mesir membaiki jalan ke pintu sempadan Rafah yang rosak teruk akibat bedilan Israel bagi memudahkan trak bantuan memasuki Gaza.
Namun, Gaza masih dikepung selepas Israel menyekat bekalan air, elektrik, makanan dan bahan api melalui sempadannya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, wilayah itu kini seperti neraka dan masa semakin suntuk untuk menghantar bantuan kepada orang awam yang amat terdesak dan memerlukan makanan serta perubatan.
Menurut Pihak berkuasa Mesir, serangan Israel di sekitar Rafah lebih empat kali sejak rejim Zionis memulakan serangan udara ke atas Gaza.
Media Mesir melaporkan, sempadan itu ditutup selepas tiga serangan Israel pada 9 dan 10 Oktober yang turut menyebabkan kerosakan besar serta kecederaan kepada penduduk di sempadan Mesir dan Palestin.