SEOUL: Korea Selatan telah merekodkan 29 kes wabak penyakit kulit berketul pada lembu sejak wabak pertama dikesan minggu lalu dan bagi membendung penularan jangkitan satu kempen vaksinasi telah dilancarkan di seluruh negara.
Menurut Kementerian Pertanian, pihak berkuasa sedang berbincang dengan syarikat domestik dan asing untuk mendapatkan empat juta dos vaksin menjelang akhir bulan ini, iaitu satu jumlah yang mencukupi untuk menyuntik semua lembu di negara ini.
Virus yang mudah berjangkit itu menyebabkan lepuh dan mengurangkan pengeluaran susu, dan disebarkan oleh serangga penghisap darah seperti nyamuk, kutu dan lalat, bagaimanapun ia tidak mendatangkan risiko kepada manusia.
Pihak berkuasa kemudian memusnahkan semua lembu di fasiliti yang terjejas dan mengenakan larangan pengangkutan sementara di ladang berhampiran.
Pada masa sama, semua lembu di sana disuntik menggunakan 540,000 dos vaksin yang mereka ada dalam stok.
Kerajaan juga bercadang untuk melaksanakan vaksinasi semua lembu di negara ini pada awal bulan depan.
“Jika inokulasi vaksin di seluruh negara selesai seperti yang dirancang, wabak penyakit kulit berketul dijangka stabil pada November memandangkan tempoh tiga minggu diperlukan untuk membangunkan antibodi bagi imunisasi,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.