SEMENANJUNG GAZA: Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan rejim Zionis di Semenanjung Gaza meningkat kepada 11,320 orang, kata pejabat media kerajaan semalam.
“Mangsa termasuk 4,650 kanak-kanak dan 3,145 wanita, manakala 29,200 lagi cedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Seramai 3,600 orang lagi masih tidak dapat dikesan, termasuk 1,755 kanak-kanak.
“Seramai 198 pegawai perubatan, 22 anggota pertahanan awam dan 51 wartawan turut terbunuh dalam serangan itu,” katanya seperti dilapor Agensi Anadolu.
“Pencerobohan Israel memaksa 25 hospital dan 52 pusat penjagaan kesihatan tidak beroperasi, manakala 55 ambulans menjadi sasaran tentera Israel,”jelas kenyataan itu lagi.
Pejabat media berkata 40 pesakit meninggal dunia di Hospital Al-Shifa dalam tempoh lima hari lalu di tengah-tengah kepungan Israel dan kekurangan bahan api.
“Lapan puluh dua orang telah dikebumikan di dalam kubur besar-besaran di dalam kompleks perubatan kerana pendudukan, yang masih mengepung hospital sepenuhnya,” katanya.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu menyebabkan beribu-ribu bangunan, termasuk hospital, masjid dan gereja musnah. – AGENSI
| ARTIKEL BERKAITAN
- Pertempuran sengit antara Pejuang Hamas dan tentera rejim di Gaza City
- [VIDEO] Hamas sedia runding pembebasan tawanan, gencatan senjata 5 hari
- Kenang rakan terkorban di Gaza, PBB bertafakur & bendera kibar separuh tiang
- Israel sasar 3 hospital di Gaza, angka korban hampir 11,000 orang
- Jumlah korban di Gaza cecah 11,240 – Hamas