comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Kedutaan Afghanistan di New Delhi ditutup

FOTO Reuters

NEW DELHI: Kedutaan Afghanistan di New Delhi ditutup berikutan tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada kerajaan India serta kerajaan sementara di Kabul.

Misi yang terletak di kawasan diplomatik Chanakyapuri itu bakal menamatkan operasi mulai 1 Oktober, menurut kenyataan kedutaan pada Sabtu.

“Dengan rasa sedih, kesal dan kecewa, kedutaan Afghanistan di New Delhi mengumumkan keputusan untuk menamatkan operasinya. Keputusan itu amat dikesali dan dibuat selepas pertimbangan teliti, dengan mengambil kira hubungan bersejarah dan perkongsian antara Afghanistan dan India yang telah terjalin sekian lama,” menurut kenyataan itu.

Antara faktor penutupan itu, termasuk kurangnya sokongan daripada kerajaan tuan rumah, sumber yang tidak mencukupi dan kekurangan kakitangan.

“Ketiadaan ketara sokongan penting daripada kerajaan tuan rumah telah menghalang keupayaan kami untuk menjalankan tugas dengan berkesan.

“Kurang sokongan yang diperlukan untuk pembaharuan visa diplomat sehingga ke bidang kerjasama kritikal yang lain amat menghampakan dan menghalang keupayaan kami untuk menjalankan tugas rutin dengan berkesan,” kata kedutaan Afghanistan.

Kedutaan itu diterajui Duta Farid Mamundzay yang dilantik oleh pentadbiran Ashraf Ghani sebelum kerajaan berkenaan tumbang pada Ogos 2021 apabila Taliban mengambil alih Kabul.

Menurut kenyataan itu, selaras dengan Artikel 45 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik (1961), semua harta dan kemudahan kedutaan akan dipindahkan kepada jagaan pihak berkuasa negara tuan rumah.

Walaupun kedutaan ditutup, konsulat Afghanistan di Mumbai akan terus beroperasi.

Afghanistan juga mempunyai konsulat di bandar Hyderabad yang dibuka pada Januari 2020.

Konsul Jeneral Afghanistan di Mumbai, Zakia Wardak, dalam satu kenyataan pada Jumaat menjawab isu penutupan itu.

“Dalam masa yang mencabar ini, kami ingin memberi jaminan kepada semua warga Afghanistan yang tinggal di India bahawa anda masih boleh mendapatkan bantuan konsular, pendidikan atau komersial menerusi Konsulat Jeneral Afghanistan di Mumbai dan Hyderabad,” kata Zakia.

Pengumuman kedutaan pada Sabtu itu turut menunjukkan perbezaan ketara dengan konsulat mengenai keputusan penutupan.

Merujuk kepada kenyataan konsulat “mungkin ada yang menerima sokongan dan arahan daripada Kabul yang mungkin berbeza daripada tindakan kami ketika ini”.

Walaupun India tidak secara rasmi mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban, negara ini masih terlibat dengan pemerintah baharu Kabul menerusi aktiviti bantuan di Afghanistan.

New Delhi menarik balik kakitangan diplomatik dari Kabul pada 2021 ketika pasukan NATO keluar dari Afghanistan.

India menikmati hubungan politik dan ekonomi yang rapat dengan kerajaan terdahulu di Afghanistan dan melaksanakan banyak projek.

Dagangan dua hala pada tahun kewangan 2019-20 bernilai US$1.5 bilion dan lebih 1,700 warga India pernah menetap di Afghanistan.

Jumlah pelarian Afghanistan yang tinggal di India dianggarkan melebihi 15,000 orang. – BERNAMA

Loading...
Terkini