MOSCOW: Kapsul Soyuz Russia tanpa kru mendarat di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) awal pagi tadi dalam misi membawa pulang tiga angkasawan yang terkandas berikutan kerosakan kapsul berpunca daripada hentaman meteor kecil.
Kapal MS-23 dipasang secara autonomi ke makmal penyelidikan ketika mengorbit, dengan video langsung daripada rakan kongsi ISS, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menunjukkan kapsul itu melengkapkan perjalanan selama dua hari selepas dilancarkan dari Kazakhstan.
Ia dijangka membawa pulang angkasawan Amerika Syarikat (AS), Frank Rubio dan dua angkasawan Russia, Dmitry Petelin dan Sergei Prokopyev pada September ini.
Ketiga-tiga mereka tiba di ISS September lalu dengan menaiki kapal angkasa MS-22.
Mengikut jadual asal, misi mereka sepatutnya berakhir hingga penghujung Mac iaitu berlangsung selama enam bulan.
Bagaimanapun kapsul dinaiki mereka berdepan kebocoran cecair penyejuk pada radiator sekitar Disember lalu dan ia dipercayai oleh pegawai AS dan Russia berpunca daripada zarah kecil batu angkasa.
Agensi angkasa lepas Russia, Roscosmos memutuskan untuk menghantar MS-23 bagi menggantikan kapal yang rosak itu, namun tanpa tiga anak kapalnya.
Berikutan tiada kru lain menggantikan mereka, Rubio, Petelin dan Prokopyev kini akan menghabiskan masa hampir setahun di angkasa lepas.
Kapsul MS-22 yang rosak dijangka berlepas dari stesen angkasa tanpa penumpang dan kembali ke bumi pada penghujung Mac.
Untuk rekod, MS-23 sebelum ini dijadualkan untuk menerbangkan angkasawan Russia, Oleg Kononenko dan Nikolai Chub serta Loral O’Hara dari NASA ke ISS pada 16 Mac. – AFP