![](https://media.buletintv3.my/2023/05/PY9hR6uz-BULETIN-TV3-32.jpg)
Hong Kong: Jam tangan milik maharaja terakhir China dijual pada harga AS$6.2 juta dolar atau kira-kira RM28.4 juta pada satu acara lelongan di Hong Kong.
Ref 96 Quantieme Lune pada asalnya dimiliki oleh Aisin-Gioro Puyi, monarki terakhir dinasti Qing China.
Kisah Puyi, yang menjadi maharaja pada usia dua tahun pada 1908 itu pernah diabadikan menerusi filem yang meraih Anugerah Akademi, The Last Emperor, arahan Bernardo Bertolucci.
Lebih 20 tahun kemudian, Puyi dilantik sebagai pemimpin ‘boneka’ Manchuria yang diduduki Jepun.
Puyi ditangkap pada tahun 1945, selepas kejatuhan Jepun dan dibawa ke kem penjara Soviet.
Rumah lelongan British Phillips berkata, ia mempunyai dokumentasi yang menunjukkan Puyi membawa jam tangan itu bersamanya ke kem.
Ketua jam tangan Phillips di Asia, Thomas Perazzi berkata, dia teruja dengan jualan hebat ini kerana ia mencipta rekod jualan tertinggi daripada mana-mana jam tangan Patek Philippe 96 yang pernah dijual.
Ref 96 adalah jam tangan komplikasi pertama dihasilkan secara bersiri oleh Patek Philippe dan menurut Perazzi, hanya ada tiga saja di dunia.
Berdasarkan memoir anak saudara Puyi, Aisin-Gioro Yuyuan, jam tangan itu adalah barangan peribadi maharaja dan ia diserahkan kepada jurubahasa Rusianya, Georgy Permyakov untuk disimpan ketika dia berada di penjara.