VENICE: Cuaca sejuk dan kering sejak beberapa minggu menimbulkan kebimbangan Itali mungkin mengalami kemarau musim sejuk, dengan kawasan pergunungan Alps hanya menerima kurang separuh daripada salji biasa.
Saintis dan aktivis alam sekitar memberi amaran itu ketika Venice, sebuah bandar dengan keadaan banjir biasanya menjadi kebimbangan utama, menghadapi keadaan air surut luar biasa yang menyebabkan gondola dan water cab tidak dapat digunakan melalui terusan.
Beberapa faktor dikesan menjadi punca antaranya kekurangan hujan, sistem tekanan tinggi, bulan penuh dan arus laut.
Po, sungai terpanjang di Itali yang mengalir dari Alps di barat laut ke Adriatik, didapati kurang 61 peratus air daripada biasa pada tahun ini, kata saintis dalam satu kenyataan.
Julai tahun lalu, Itali mengisytiharkan darurat di kawasan sekitar Po, yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada pengeluaran pertanian negara itu selepas kemarau paling teruk dalam tempoh 70 tahun.
Ramalan cuaca terkini walau bagaimanapun menunjukkan hujan dan salji mungkin akan turun dalam beberapa hari lagi.
Kemarau musim sejuk merujuk kepada keadaan iklim sejuk kering lantaran tidak menerima jumlah hujan yang mencukupi, atau salji tidak terbentuk dengan banyak walaupun sudah mencapai suhu yang sepatutnya.
Keadaan itu juga menyusutkan komposisi air dalam tanah, lalu menjadikan tanaman tidak mampu bertahan hidup.