ANKARA: Turkiye tidak akan menarik balik penentangannya terhadap Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, NATO.
Tegas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mereka hanya akan mempertimbangkan semula sekiranya Sweden berhenti melindungi kumpulan pengganas.
Tambahnya Turkiye berulang kali mengatakan bahawa Sweden perlu mengambil langkah tambahan terhadap penyokong Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Anggota Rangkaian Ankara yang juga dalang cubaan rampasan kuasa pada 2016.
Kedua-dua kumpulan itu yang dianggap Turkiye sebagai organisasi pengganas.
Sweden memastikan bahagiannya dalam perjanjian bersama-sama Turkiye di Madrid tahun lalu dituruti dengan menangani kebimbangan keselamatan Ankara, termasuk membawa undang-undang antikeganasan baharu.
Bagaimanapun, Turkiye berkata perubahan undang-undang Sweden adalah sia-sia kerana penyokong PKK masih mudah mengadakan protes di negara itu.
Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg berkata Sweden dan Turkiye akan mengadakan mesyuarat peringkat tinggi di Brussels, Belgium mengenai kemungkinan penyertaan Sweden ke NATO.
Namun, demonstrasi dan pembakaran Al-Quran pada hari pertama Aidiladha di Stockholm beberapa hari lalu dilihat menipiskan peluang Sweden menyertai blok berkenaan.
SUMBER REUTERS