DHEIRA: Israel didakwa menggunakan bom fosforus putih yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS) dalam serangannya di selatan Lubnan.
Dalam serangan itu, sekurang-kurangnya sembilan orang awam cedera dan kumpulan hak asasi menggesa siasatan dilakukan ke atas penjenayah perang itu.
Menurut Washington Post, wartawannya menemui serpihan peluru tembakan artileri 155 meter yang dilepaskan ke Dheira, berhampiran sempadan Israel menyebabkan sekurang-kurangnya empat rumah musnah.
Bom fosforus putih dilarang pada peringkat antarabangsa bawah Konvensyen Geneva 1980, yang secara jelas melarang penggunaannya sebagai senjata pembakar terhadap manusia dan alam sekitar.
Daripada sembilan mangsa yang cedera dalam serangan Israel ke atas Dheira, sekurang-kurangnya tiga dimasukkan ke hospital selama beberapa hari.
Sementara itu, AS berkata, pihaknya melahirkan rasa bimbang berhubung laporan Israel menggunakan bom fosforus putih yang dibekalkan dalam serangan di selatan Lubnan, kata jurucakap Rumah Putih, John Kirby semalam.
“Kami sudah melihat laporan itu dan sudah tentu prihatin mengenainya. Kami akan bertanya soalan untuk cuba mengetahui lebih banyak lagi,” kata Kirby kepada pemberita di Air Force One.
Kirby berkata, bom fosforus putih mempunyai ‘utiliti ketenteraan yang sah’ untuk pencahayaan dan menghasilkan asap untuk menyembunyikan pergerakan.
“Jelas sekali pada bila-bila masa kami menyediakan barangan seperti bom fosforus putih kepada tentera lain, ia adalah dengan harapan penuh bahawa akan digunakan selaras dengan tujuan yang sah itu selaras dengan undang-undang konflik bersenjata,” katanya.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, ketika ditanya mengenai perkara itu mendakwa anggota tenteranya dan seluruh pertubuhan keselamatan bertindak mengikut undang-undang antarabangsa.
“Itulah bagaimana kami bertindak dan bagaimana kami akan bertindak,” katanya. – REUTERS