
RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk Israel dan negara-negara yang menyokong rejim itu sekaligus menuntut sekutu berkenaan bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di Semenanjung Gaza.
Menurut Abbas, itu yang disimpulkan susulan pertemuan beliau dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di ibu pejabat Presiden Palestin di Ramallah.

Presiden Palestin itu turut menggesa gencatan senjata, pembukaan koridor bantuan kemanusiaan dan penyediaan bekalan air, elektrik, bahan api dan keperluan lain kepada penduduk.
Abbas juga meminta Macron dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk segera menghentikan serangan rejim, mengadakan persidangan damai antarabangsa dan menumpukan usaha ke arah penyelesaian politik.
Sehingga hari ini lebih 5,795 warga Palestin terbunuh manakala sekurang-kurangnya 18,000 lagi cedera rentetan serangan Israel di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober.