RAFAH: Meskipun dikecam dunia, tentera Israel nyata tidak menghiraukannya dan memberi amaran akan memperhebatkan bedilan ke atas Gaza beberapa jam selepas konvoi trak membawa bantuan kepada orang awam tiba dari Mesir.
Rejim Zionis memberi alasan pengeboman itu untuk mengurangkan risiko yang bakal dihadapi tenteranya apabila memasuki Gaza pada fasa serangan seterusnya.
Puluhan ribu tentera Israel kini dikerahkan ke sempadan Gaza menjelang serangan darat yang dijangka bermula ‘tidak lama lagi’.
Jurucakap tentera Israel, Laksamana Daniel Hagari, berkata mulai hari ini, mereka akan meningkatkan serangan dan mengurangkan bahaya.
“Kami perlu memasuki fasa perang seterusnya dalam keadaan terbaik, bukan mengikut apa yang diberitahu oleh sesiapa kepada kami,” katanya.
Ketika lawatan ke briged infantri barisan hadapan, ketua kakitangan Leftenan Jeneral Herzi Halevi, berkata pihaknya bersedia untuk menangani sebarang kejutan yang disediakan untuk mereka di Gaza.
“Gaza berpenduduk padat, musuh sedang menyediakan banyak perkara di sana tetapi kami juga sedang bersiap untuk mereka,” kata Halevi.
Sebanyak 20 trak dari Bulan Sabit Merah Mesir melalui sempadan Rafah ke Gaza, semalam.
Satu-satunya laluan ke Gaza yang tidak dikawal oleh Israel itu ditutup semula selepas trak bantuan melepasinya.
Ketua Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata 20 trak itu tidak mencukupi untuk apa yang diperlukan penduduk Gaza dan menggesa lebih banyak bantuan dihantar.
Lima agensi PBB termasuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), semalam mendesak dunia melakukan lebih banyak lagi.
Katanya, krisis kemanusiaan di sana berpotensi menjadi ‘malapetaka terbesar’ jika masyarakat antarabangsa tidak campur tangan bagi menghentikannya.
Di Kaherah, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menjadi tuan rumah sidang kemuncak keamanan yang dihadiri pemimpin serantau dan beberapa pemimpin Barat.
“Sudah tiba masanya untuk menamatkan mimpi ngeri ini, ‘gencatan senjata kemanusiaan’ harus dilaksanakan segera bagi menamatkan keganasan.
“Penderitaan rakyat Palestin adalah sah dan sudah lama, dengan 56 tahun pendudukan haram tanpa penyelesaian.
“Serangan ganas yang dilakukan Israel atas alasan membalas serangan Hamas tidak boleh diterima sama sekali kerana rakyat Palestin secara keseluruhan menjadi mangsa ‘hukuman’ ini,” kata Guterres pada sidang kemuncak itu.
Pengeboman tanpa henti oleh Rejim Zionis mengorbankan sekurang-kurangnya 4,300 penduduk Gaza dengan kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.
Israel turut memotong bekalan makanan, air, elektrik dan bahan api kepada wilayah yang padat dengan 2.4 juta penduduk itu, sekali gus mencetuskan ancaman malapetaka kemanusiaan. – AGENSI