comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Israel arah gudang bekalan perubatan WHO di selatan Gaza dipindahkan

GAZA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mendakwa diberi tempoh 24 jam oleh rejim zionis untuk memindahkan bekalan dari gudang perubatan WHO di selatan Gaza.

Tentera rejim yang beroperasi di situ memberi amaran akses ke kawasan berkenaan akan disekat.

Keadaan itu dikhuatiri, ia mungkin menjadi lokasi serangan seterusnya.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu catatan di platform media sosial X, menggesa Israel menarik balik perintah itu dan ‘mengambil setiap langkah’ untuk melindungi orang awam dan infrastruktur awam termasuk hospital dan kemudahan kemanusiaan.

Bagaimanapun, COGAT iaitu agensi Kementerian Pertahanan Israel, dalam satu kenyataan menafikan mereka meminta WHO untuk mengosongkan gudang itu dan berkata, perkara itu sudah dijelaskan dengan terperinci kepada wakil PBB.

Namun, badan dunia itu menegaskan tiada penjelasan secara terperinci dibuat setakat ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Shannon Barkley dari pasukan WHO di wilayah Palestin yang diduduki, dalam satu taklimat media berkata, kakitangan WHO di Gaza dapat ‘menyelesaikan sebahagian daripada pemindahan gudang ke kemudahan baru’.

Ahmed Al-Mandhari, pengarah wilayah WHO untuk Mediterranean Timur, pada taklimat sama, berkata, operasi darat tentera yang diperhebatkan oleh Israel di selatan Gaza, khususnya di Khan Younis, berkemungkinan mengakibatkan ribuan orang tersisih daripada akses penjagaan kesihatan.

Pegawai WHO itu berkata, ramai penduduk Gaza tidak dapat mengakses air bersih dan sanitasi, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai wabak penyakit utama, yang sudah pun bermula.

Kata Al-Mandhari lagi, WHO menyedari berlaku peningkatan ketara penyakit berjangkit, termasuklah jangkitan pernafasan akut, kudis, jaundis, cirit-birit dan cirit-birit berdarah.

Ini tidak termasuk masalah psikologi dan trauma dihadapi mangsa perang, yang dijangka menjadi masalah berkekalan bagi sesetengah daripada mereka sepanjang hayat.

Dr Richard Brennan dari Pejabat Wilayah WHO untuk Mediterranean Timur pula berkata, pegawai kesihatan juga bimbang mengenai penyakit Hepatitis E, yang boleh disebarkan dari orang ke orang melalui air yang tercemar dan menambah risiko kepada wanita hamil.

Kata Brennan, sektor kesihatan di Gaza kini mengalami ‘kemerosotan besar-besaran’, dengan hanya 18 hospital kini berfungsi, kurang daripada 36 sebelum perang.

Ia juga terpaksa beroperasi jauh di bawah kapasiti sebenar mereka.

“Jadi, keupayaan kami untuk bertindak balas terhadap keperluan semakin rendah dan pada masa sama seperti keperluan itu semakin meningkat,” katanya. – REUTERS

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini