GAZA : Undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang melindungi hospital langsung dipatuhi Israel apabila salah satu hospital terakhir yang masih bertahan di Semenanjung Gaza utara tidak dapat lagi beroperasi hari ini selepas diserang oleh tentera rejim itu.
Menurut Pengarah hospital Al-Ahli, Fadel Naim, tentera Israel menyerang hospital dan menahan ramai doktor, kakitangan perubatan dan pesakit selain memusnahkan sebahagian daripada kawasan bangunan itu.
“Serangan Israel mengakibatkan hospital tidak dapat lagi beroperasi, kami tidak lagi boleh menerima mana-mana pesakit atau mangsa yang cedera,” katanya.
Tambah beliau, sekurang-kurangnya empat orang yang cedera akibat tembakan Israel semalam di hospital terbabit meninggal dunia hari ini akibat kecederaan yang dialami.
“Menurut maklumat kami, terdapat berpuluh-puluh orang yang cedera di jalanan sekitar hospital ini,” katanya.
Hospital Al-Ahli, yang juga dikenali sebagai hospital Baptist atau Ahli Arab, mengalami kerosakan teruk akibat letupan di tempat letak keretanya pada 17 Oktober lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya puluhan mangsa maut.
Kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam menuduh serangan itu dilakukan Israel, namun ia dinafikan rejim itu dan sebaliknya menyalahkan roket yang dikatakan salah ditembak oleh Jihad Islam menyebabkan letupan itu.
Hospital dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, namun ia berulang kali diserang Israel di Semenanjung Gaza sejak bermulanya perang antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Tentera Israel sebelum ini menyerbu kemudahan perubatan lain di Gaza, termasuk Al-Shifa, hospital terbesar di wilayah itu, yang kini beroperasi pada kapasiti minimum dengan pasukan yang sangat kecil.
Ahad lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, hospital Al-Ahli menerima ‘pesakit kritikal’ daripada Al-Shifa untuk pembedahan.Menurut WHO, Jabatan kecemasan Al-Shifa, yang musnah akibat pengeboman Israel, ‘bermandikan darah’ dan ‘memerlukan pemulihan’.
Israel menghadapi peningkatan tekanan antarabangsa susulan kenaikan jumlah kematian orang awam dan kemusnahan hospital di Gaza.