TAMUNING: Guam mengharungi ribut paling kuat dalam tempoh beberapa tahun tanpa kerosakan besar, selepas Taufan kuat Mawar… yang membawa angin berkelajuan sehingga 240 kilometer sejam serta hujan lebat di Pulau Pasifik Barat.
Dilaporkan 51 ribu buah rumah dan premis perniagaan di pulau itu terputus bekalan elektrik.
Pihak Berkuasa Guam memaklumkan , tiada kesesakan luar biasa di bilik kecemasan hospital, dan hanya kerosakan sederhana seperti banjir, pokok tumbang dan talian elektrik terputus.
Gabenor Lou Leon Guerrero memberi amaran kepada orang ramai supaya kekal berada di dalam rumah sehingga kerajaan mengisytiharkan ia selamat.
Ramai yang bimbang, Taufan Mawar akan serupa dengan Taufan Karen yang telah meratakan sebahagian besar pulau itu pada tahun 1962.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat, Taufan Mawar mula dikesan membadai utara Guam awal hari ini, seterusnya bergerak ke barat laut pada kelajuan 12.9 kilometer sejam yang membawa hujan dengan taburan 5 sentimeter sejam semalaman.
Kelajuan angin meletakkan taufan terbabit dalam Kategori 4, kedua terkuat pada skala Angin Taufan Saffir-Simpson. – REUTERS