KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter melanda Semenanjung Minahassa, Sulawesi di Indonesia pada 8.34 pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa dengan kedalaman 146 kilometer (km) itu berlaku pada jarak 69km tenggara dari Gorontalo, Indonesia.
Bagaimanapun, berdasarkan penilaian awal, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia, menurut kenyataan itu.
Lapor media Antaranews, gempa mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang berlari keluar dari kediaman masing-masing.
Menurut penduduk gempa kali ini lebih kuat daripada yang pernah dialami sebelum ini. – BERNAMA/ ANTARANEWS