Tumpuan :
Luar Negara

Faktor kecuaian manusia mungkin punca nahas kereta api Greece

Orang ramai menyertai tujuk perasaan di hadapan ibu pejabat Hellenic Train, selepas dia kereta api dikendalikan syarikat itu bertembung di dekat bandar Larissa di Athens, Greece. – FOTO – REUTERS

ATHENS: Pihak berkuasa Greece tidak menolak kemungkinan pertembungan ngeri kereta api penumpang dan kargo semalam berpunca daripada kecuaian manusia.

Perkara ini diakui Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, dalam perutusan khas, yang turut mengumumkan angka korban kini mencecah 43 mangsa.

Sementara itu, pengawal stesen tempatan didakwa menyebabkan kematian.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Greece, Kostas Karamanlis, mengambil tanggungjawab penuh berhubung tragedi itu dan meletak jawatan.

Katanya, dia membuat keputusan itu sebagai tanda hormat dan simpati terhadap mereka yang kehilangan nyawa dalam tragedi terbabit, dan sudah sudah mengambil pelbagai usaha memperbaiki sistem kereta api yang tidak lagi sesuai untuk abad ke 21 ini.

Menurut pihak berkuasa Greece, nahas itu berlaku selepas kereta api penumpang dalam perjalanan dari Athens ke Thessalonoki bertembung dengan kereta api kargo dari Thessaloniki ke Larissa.

Anggota penyelamat memeriksa nahas lokasi bagi mencari mangsa nahas kereta api di Tempe, Athens di Greece. – FOTO : AP

Menurut laporan, pertembungan kedua-dua kereta api berkenaan berlaku di luar bandar Larissa di tengah Greece dan menurut media tempatan, 350 orang menaiki kereta api terbabit.

Tragedi kereta api terburuk di Greece itu menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dari landasan termasuk beberapa yang remuk teruk dengan memerangkap penumpang di dalamnya.

Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, menyifatkan pelanggaran itu sebagai ‘nahas kereta api paling menggerunkan dalam sejarah negara’ dan memberi jaminan akan jalankan siasatan terperinci.

Katanya, bukti awal menunjukkan pertembungan itu berlaku kerana ‘kecuaian manusia yang tragik’, tanpa mengulas lebih lanjut.

Setakat ini, pihak berkuasa sudah menahan ketua stesen di perhentian terakhir kereta api itu di bandar Larissa, namun tidak mendedahkan nama atau kenapa dia ditahan.

Pada dasarnya, ketua stesen bertanggungjawab menyelia bagi memastikan kereta api berada di landasan yang sepatutnya dan dia dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Pekerja kecemasan menggunakan kren dan jentera berat lain bagi mengalihkan gerabak yang remuk, di mana lebih banyak mayat dan cebisan badan ditemui.

Ketua Koroner Larisa, Roubini Leondari, berkata 43 mayat dibawa kepadanya untuk pemeriksaan dan perlu menjalani ujian DNA kerana kebanyakan mengalami kecedaram atau kecacatan yang amat teruk.

“Sebahagian besar adalah mayat orang muda dan berada dalam keadaan sangat teruk,” katanya.

Pihak bomba Greece memaklumkan, 57 mangsa masih dirawat di hospital termasuk enam di unit rawatan rapi (ICU), lebih 15 mangsa dibenarkan pulang selepas menerima rawatan manakala 200 lagi yang hanya cedera ringan dibawa dengan bas ke Thessaloniki. – REUTERS

Loading...
Terkini