GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan empat hospital di wilayah itu yang dikepung, lumpuh ekoran menjadi sasaran langsung serangan udara Israel, lapor agensi berita Jordan (Petra).
Empat hospital itu adalah Beit Hanoun, Al-Durra, Al-Karama dan Hospital Antarabangsa Al-Oyoun.
“Hospital itu menampung jumlah pesakit yang tinggi iaitu pada kadar 150 peratus, dengan ada dalam kalangan pesakit yang terpaksa tidur di atas lantai dan koridor.
“Tiada stok ubat, barangan perubatan dan bahan api di hospital,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kementerian itu berkata hospital tidak lagi mempunyai keupayaan perubatan dan bahan api, dan sebarang kelewatan dalam penghantaran bekalan perubatan ke hospital di Semenanjung Gaza akan menyebabkan lebih ramai pesakit yang cedera meninggal dunia.
Kementerian itu menggesa komuniti antarabangsa dan kumpulan kemanusiaan supaya menyegerakan kemasukan barangan perubatan kecemasan ke hospital di Semenanjung Gaza.
Ia juga menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya melindungi pasukan perubatan, hospital, ambulans dan tempat perlindungan penduduk yang dipaksa oleh penceroboh Israel meninggalkan rumah mereka, menurut Petra.
Lebih 3,785 warga Palestin terbunuh manakala lebih 12,000 cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober. – BERNAMA-PETRA