TOKYO: Kerajaan Jepun akan menawarkan wang insentif sebanyak 1 juta yen (RM33,728) bagi setiap seorang anak untuk keluarga yang berpindah keluar dari Greater Tokyo sebagai usaha memulihkan bilangan populasi di wilayah-wilayah lain di negara itu, lapor akhbar The Guardian kelmarin.
Kadar insentif itu adalah peningkatan dramatik daripada yuran pemindahan sebelumnya iaitu sebanyak 300,000 yen (RM10,106).
Ia bakal diperkenalkan pada April depan, demikian menurut laporan beberapa media Jepun.
Menurut media tempatan, ia adalah sebahagian daripada usaha rasmi kerajaan untuk memberi ‘nafas baharu’ kepada bandar-bandar dan kampung-kampung kerana mempunyai bilangan penduduk yang semakin berkurangan.
Walaupun populasi Tokyo turun buat kali pertama pada tahun lalu berikutan trend yang sebahagiannya dikaitkan dengan pandemik Covid-19, para penggubal dasar percaya bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk mengurangkan kepadatan penduduk di kota metropolitan itu.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan memulakan kehidupan baharu di wilayah-wilayah lain yang dilanda masalah penuaan, bilangan penduduk yang semakin berkurangan dan penghijrahan golongan muda ke Tokyo, Osaka serta bandar-bandar besar lain.
Bayaran itu merupakan pertambahan kepada 3 juta yen (RM101,066) yang sudah tersedia dalam bentuk sokongan kewangan serta bakal ditawarkan kepada keluarga yang tinggal di 23 sub bahagian teras Tokyo dan wilayah-wilayah berjiran seperti Saitama, Chiba serta Kanagawa.
Bagi mendapatkan wang insentif tersebut, keluarga-keluarga mesti berpindah ke luar kawasan Greater Tokyo selain kawasan pergunungan di sempadan kota raya itu, kata agensi berita Kyodo.
Kira-kira 1,300 majlis perbandaran iaitu sekitar 80 peratus daripada jumlah keseluruhan perbandaran menyertai skim itu dengan harapan dapat memanfaatkan peralihan sikap orang ramai terhadap kualiti hidup.
Sementara itu, syarat di bawah skim tersebut adalah setiap keluarga perlu menetap di rumah baharu selama sekurang-kurangnya lima tahun. Mereka yang berpindah keluar sebelum tempoh lima tahun perlu memulangkan wang tersebut.
Menerusi insentif itu, kerajaan Jepun menyasarkan 10,000 orang bakal berpindah keluar dari Tokyo ke kawasan-kawasan pinggir bandar menjelang 2027. – AGENSI