Tumpuan :
Luar Negara

Cucuk mata teman lelaki dengan jarum kerana cemburu 

TALLAHASSEE: Akibat terlampau cemburu, seorang wanita bertindak mencucuk jarum ke mata teman lelakinya kerana mendakwa lelaki itu memandang wanita lain.

Menurut polis Miami, Sandra Jimenez, 44, dari Miami, dan teman lelakinya yang tinggal bersama selama lapan tahun, bertengkar selepas mengetahui perbuatan lelaki itu.

Katanya, sebaik tiba di rumah mereka di Northeast 62nd Street kira-kira 10 malam, Sabtu lalu, Sandra didakwa mengambil peluangnya untuk memberi pengajaran kepada teman lelakinya itu.

“Ketika lelaki itu berbaring di atas sofa, Sandra melompat ke atasnya dengan dua jarum suntikan rabies untuk anjing mereka.

“Dia terus mencucuk alat itu ke kelopak mata kanannya,” kata polis dalam afidavit penangkapan yang dipetik Fox 35 Orlando.

Polis berkata, mangsa kemudiannya menghubungi polis sebelum dibawa ke Hospital Memorial Jackson.Wanita itu ditahan polis ketika sedang tidur di dalam keretanya di luar rumah terbabit, pada malam kejadian.

Dia mendakwa, dia tidak tahu bagaimana kecederaan mata teman lelakinya itu boleh berlaku disebabkan tindakannya itu.

Sandra ditahan di Penjara Daerah Miami-Dade atas pertuduhan jenayah lebih teruk, namun diikat jamin sebelum menjalani tahanan rumah.

Perbicaraan kes itu dijangka bermula pada 26 Disember ini.–AGENSI

Loading...
Terkini