GAZA: Seorang bayi yang sedang disusukan ibunya terbunuh apabila tentera rejim Israel membedil rumah mereka, semalam.
Bayi lelaki yang dilahirkan kurang dua bulan itu antara korban terawal kekejaman terbaharu Israel yang menyasarkan rumah mereka dengan meriam kereta kebal tentera.
Dalam rakaman video menyentuh hati, ibu yang masih berpantang itu dilihat mendakap erat dan mencium jasad anak kecil yang lengkap berkafan itu berulang kali sambil merintih pilu ketika memberikan penghormatan terakhir.
Datuk bayi itu berkata, ketika kejadian cucu lelakinya sedang menyusu badan, namun dilihat tidak lagi bermaya sejurus selepas rumah mereka dibedil.
“Anak perempuan saya sedang menyusukan anak lelakinya, tiba-tiba rumah kami dibedil. Kami keluar melarikan diri bersamanya sebelum mendapati dia nyawa-nyawa ikan.
“Kami sempat membawanya ke dua hospital, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam video dimuat naik Hani Abu Rezeq.
Kata warga emas itu, dia kesal apabila cucu lelakinya menjadi mangsa korban dalam siri serangan terbaharu Israel, sebaik sahaja tempoh gencatan senjata berakhir pagi semalam (waktu Palestin).
“Seperti yang kamu tengok, inilah (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu, dia bom generasi baharu.
“Netanyahu, kalau kamu betul-betul tentera sejati, kamu berdepan lawan sebenar jangan serang kanak-kanak, wanita dan orang tua,” katanya sambil menunjukkan jasad cucunya itu di hadapan khalayak ramai.
Dalam pada itu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa semua pihak melakukan apa sahaja untuk melindungi kanak-kanak di Gaza berikutan wilayah itu kini dianggap sebagai tempat paling berbahaya apatah lagi musim sejuk bakal tiba yang turut menjadi ancaman kepada golongan itu.
Setakat ini, Kementerian Kesihatan di Gaza menganggarkan lebih 240 orang terkorban manakala lebih 650 penduduk cedera pada hari pertama serangan Israel selepas gencatan senjata berakhir, semalam.