GAZA : Bantuan ke Gaza dilaporkan terkandas berhampiran sempadan Rafah dari Mesir angkara rejim Zionis kembali melancarkan serangan pada Jumaat.
Pemandu trak berkata mereka menjangka berlaku kelewatan dalam proses penghantaran.
“Pengeboman berlaku sejak 7 pagi. Ada pesawat dan artileri. Kami belum boleh bergerak,” kata pemandu Saleh Ebada yang sudah menunggu lapan hari bagi memasuki sempadan untuk pemeriksaan apabila secara tiba-tiba pertempuran kembali meletus.
Sumber keselamatan Mesir dan seorang pegawai Bulan Sabit Merah berkata, bantuan dan trak bahan api sudah berhenti masuk ke Gaza dari Mesir.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan pertempuran semula itu sebagai malapetaka.
Jurucakap di pintu sempadan Rafah turut mengesahkan trak membawa masuk bantuan, bahan api dan gas memasak yang sangat diperlukan dari Mesir ke Semenanjung Gaza terkandas berikutan serangan semula tentera Israel.
Pemandu trak Mesir berkata mereka mengalami kelewatan empat atau lima hari sehingga pemeriksaan dan pengimbasan barangan selesai dilakukan anggota keselamatan Israel di Al-Awja.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melobi supaya Israel membuka persimpangan Karem Abu Salem (Kerem Shalom) berhampiran Rafah yang mengendalikan sejumlah besar barangan sebelum perang.
Israel bagaimanapun, menolak kerana bimbang bantuan digunakan oleh Hamas.
Pemandu trak, Ebada berkata semasa gencatan senjata, kira-kira 200 trak bantuan dibenar memasuki Gaza setiap hari, lebih dua kali ganda daripada purata sebelumnya.
Seorang lagi pemandu trak, Idrees merasakan trak bantuan akan tersekat selama seminggu.
“Kami sedang menunggu sehingga mendapat pelepasan keselamatan kerana terdapat kira-kira 350 trak di dalam di Al-Awja, dan ia perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.
Rafah menjadi satu-satunya pintu masuk untuk bantuan masuk ke Gaza sejak Israel mula mengepung dan mengebom wilayah pantai sejak 7 Oktober lalu.
Sementara itu, Ashraf al-Qudra, jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, merayu kepada ‘setiap hati nurani yang hidup’ untuk membenarkan pembukaan pintu sempadan Rafah di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang sangat dahsyat.
“Bantuan perubatan yang memasuki Gaza semasa gencatan senjata hanya cukup untuk satu hari. Sektor kesihatan di Gaza sukar berfungsi,” kata al-Qudra dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hanya tiga hospital berfungsi di Gaza namun, ia juga sudah tidak boleh menerima sejumlah besar pesakit khususnya mangsa perang.
Kenyataan al-Qudra itu dikeluarkan ketika serangan udara Israel membunuh sekurang-kurangnya 109 mangsa dan mencederakan ratusan lain, menurut pegawai Palestin.
Petugas perubatan dilapor sedang bergelut untuk membantu pesakit yang hanya dirawat di lantai hospital akibat kekurangan katil. – AGENSI