Tumpuan :
Luar Negara

Bakar al-Quran: Iraq keluar waran tangkap ke atas Salwan Momika 

BAGHDAD: Pejabat pendakwa raya Iraq mengeluarkan waran tangkap menerusi Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) terhadap Salwan Momika, seorang pelarian warga Iraq berusia 37 tahun yang bertindak membakar al-Quran di Sweden, Stockholm pada akhir Jun, Sputnik memetik laporan penyiar Iraq, Al Sumaria pada Khamis.

Pejabat pendakwa raya sudah menghantar maklumat dan waran tangkap khas untuk Momika dan meminta Interpol memaklumkan kepada Baghdad sekiranya dia diberkas.

Pada 28 Jun, protes berlaku di perkarangan masjid Stockholm, di mana al-Quran dibakar.

Insiden membakar al-Quran di Stockholm mencetuskan kecaman di seluruh dunia.

Iraq menyeru pihak berkuasa Sweden untuk menghantar pulang individu yang bertanggungjawab atas kejadian itu.

Ramai ketua negara, termasuk Setiausaha Agung Liga Arab dan Ketua Majlis Kerjasama Teluk mengecam perbuatan terkutuk itu.

Demonstrasi serupa berlaku di Sweden pada Januari apabila ahli politik sayap kanan Denmark, Rasmus Paludan membakar kitab suci umat Islam di hadapan kedutaan Turkiye. – BERNAMA

Loading...
Terkini