comscore
Tumpuan :
Luar Negara

Arab Saudi panggil duta Sweden susulan insiden bakar al-Quran

RIYADH: Arab Saudi memanggil duta Sweden ke negara itu bagi mengecam perbuatan membakar al-Quran di luar masjid Stockholm, yang mencetuskan tindak balas diplomatik di seluruh dunia Islam.

Negara yang menjadi rumah kepada tempat paling suci dalam Islam, Makkah dan Madinah itu, mengecam insiden pada Rabu lalu, membabitkan seorang warga Iraq yang tinggal di Sweden, Salwan Momika, 37 tahun, yang bertindak memijak kitab suci umat Islam itu dan membakar beberapa muka surat.

Justeru, Kementerian Luar Arab Saudi memanggil duta besar itu bagi menggesa Sweden “menghentikan semua tindakan yang secara langsung bercanggah dengan usaha antarabangsa untuk menyebarkan nilai toleransi, kesederhanaan dan penolakan ekstremisme serta melemahkan rasa saling menghormati yang diperlukan untuk hubungan antara rakyat dan negara”, demikian laporan Saudi Press Agency.

Negara lain, termasuk Iraq, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Maghribi turut memanggil duta Sweden sebagai tanda protes.

Semalam, Iran berkata, ia menangguhkan penghantaran duta baharunya ke Sweden susulan insiden itu.

Pada mesyuarat luar biasa di ibu pejabatnya di Jeddah, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpangkalan di Arab Saudi menggesa langkah kolektif bagi mengelakkan insiden umpama itu berulang.

Sebelum ini, Polis Sweden memberi permit kepada Momika, selaras dengan perlindungan kebebasan bersuara, namun tetap mengambil tindakan tegas susulan kebiadapan lelaki itu.

Kerajaan Sweden mengecam tindakan Momika dan menyifatkan ia sebagai “Islamofobia.”

Loading...
Terkini