GAZA: Angka korban perang Israel-Palestin kini mencecah sekurang-kurangnya 2,670 orang manakala lebih 9,000 mangsa cedera.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, lebih 750 kanak-kanak antara yang terbunuh.
Justeru, mereka menggesa dunia untuk menghantar segera bantuan perubatan.
Dalam perkembangan sama, pesuruhjaya Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,(PBB), Philippe Lazzarini menegaskan, krisis kemanusiaan di Gaza kini sangat kritikal.
Katanya, bekalan air dan elektrik semakin terhad selain penduduk menghadapi kekurangan makanan dan ubat.
Keadaan semakin parah apabila bantuan kemanusiaan ke Gaza dihalang Israel.
Sementara itu, Anggota Majlis Keselamatan PB mengadakan rundingan semalam bagi membentuk resolusi berhubung krisis perang antara rejim Israel dan Palestin.
Menurut diplomat, melalui rundingan yang disifatkan sukar itu, sekurang-kurangnya dua draf resolusi berada di meja rundingan untuk tindakan susulan.
Katanya, draf resolusi diterima daripada pihak Russia dan Brazil.
“Rundingan berjalan dengan sukar kerana konflik Israel-Palestin sukar mencapai persetujuan bersama dalam kalangan ahli majlis,” katanya.
Jumaat lalu, Russia mengedarkan draf yang meminta gencatan senjata kemanusiaan bersifat segera, berterusan dan dihormati sepenuhnya dicapai.
Draf itu juga mahukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Semenanjung Gaza dibuat setelah berada di bawah sekatan rejim Israel selama bertahun-tahun. – AGENSI