PARIS: Mercu tanda Menara Eiffel dan sekitarnya diarah dikosongkan susulan ancaman serangan bom.
Namun, ia adalah ancaman palsu, setelah unit pakar pengendali letupan bergegas ke lokasi selesai menjalankan pemeriksaan.
Menurut media tempatan, amaran dikeluarkan pihak berkuasa mencetus panik, dengan orang ramai bertempiaran menjauhi binaan tumpuan pelancong itu.
Dalam pada itu, premis berhampiran juga diarah peka dengan sebarang notis susulan, sebelum perkara itu disahkan.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dalang yang membuat laporan palsu mengenai ancaman bom itu.
Menurut beberapa pengunjung, mereka terpaksa menunggu lebih dua jam dengan beratur sepanjang 100 meter sebelum kembali dibenarkan masuk ke binaan ikonik berkenaan.
Monumen itu menjadi tumpuan pelancong terutama pada kemuncak musim panas ketika ini.