LONDON : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia iaitu Stesen Janakuasa Battersea di Central London, menjelang pelancarannya kepada umum Jumaat ini.
Baginda diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Datuk Zakri Jaafar.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah di Stesen Janakuasa Battersea disambut oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tun Arifin Zakaria, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) Datuk Zakri Jaafar, Menteri Pelaburan UK Dominic Johnson dan Menteri Dasar Perdagangan UK, Greg Hands.
Yang di-Pertuan Agong menyempurnakan pembukaan Stesen Janakuasa Battersea dengan menghidupkan semula kuasa secara simbolik di Dewan Turbin A, yang telah tidak aktif selama lebih 40 tahun dan kini akan menempatkan sebahagian daripada pusat beli-belah Stesen Janakuasa itu.
Baginda kemudiannya berkenan mencemar duli melancarkan plak memperingati lawatan, iaitu peringatan kekal akan hubungan kukuh antara Malaysia dan United Kingdom.
Hampir empat dekad selepas penutupannya, mercu tanda tersenarai Gred II yang telah dipulihkan itu akan dibuka kepada orang ramai pada Jumaat, 14 Oktober.
Pernah menjadi stesen janakuasa arang batu satu ketika dulu, ia kini bersedia untuk menjadi salah satu destinasi beli-belah dan riadah yang paling menarik di London.
Di bawah jagaan pemegang sahamnya – Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak 2012, mercu tanda ikonik itu telah dipulihkan kembali kepada puncak kegemilangannya dahulu manakala ruang yang lebih luas telah berubah menjadi kawasan komuniti yang meriah dan rancak. – BERNAMA