comscore
Tumpuan :
Luar Negara

9,034 suspek ditahan, hampir 1 tan narkotik dirampas setakat enam bulan pertama di Kemboja

Foto: Agensi

PHNOM PENH: Pihak berkuasa Kemboja telah menahan 9,034 suspek berkaitan dadah, termasuk 167 warga asing membabitkan 3,764 kes sepanjang enam bulan pertama 2023, menurut laporan Jabatan Polis Anti Dadah (ADP) pada Ahad.

Kira-kira 52 peratus daripada suspek adalah pengedar dadah, pengilang, pemilik dan pengangkut, manakala 48 peratus adalah penagih dadah, lapor Xinhua.

“Sebanyak 993 kilogram dadah terlarang, sembilan kg ganja kering, dan 17,950 pokok kanabis telah dirampas dari Januari hingga Jun 2023,” menurut laporan itu sambil menambah bahawa kira-kira 326 kg bahan kimia yang digunakan untuk pembuatan dadah turut dirampas.

Pihak berkuasa juga telah merampas 12 senapang buatan sendiri, 26 pistol, 99 kereta, 1,025 motosikal, 3,195 telefon bimbit dan 229 alat penimbang, serta sejumlah wang tunai.

Dadah yang dirampas termasuk heroin, ekstasi, kokain, kristal methamphetamine, pil methamphetamine, cathinone dan ketamin.

Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen berkata awal minggu ini bahawa dadah terlarang terus mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan pembangunan di negara Asia Tenggara itu.

Beliau berkata walaupun kemajuan besar telah dicapai, penjenayah masih terus aktif menyeludup dadah merentasi sempadan melalui darat, laut, pos dan udara.

Kemboja tidak melaksanakan hukuman mati bagi pengedar dadah. Di bawah undang-undang negara itu, seseorang yang didapati bersalah mengedar lebih 80 gram dadah terlarang boleh dipenjara seumur hidup. – BERNAMA-XINHUA

Loading...
Terkini