KINGSTON: Lebih 60 murid sekolah rendah dimasukkan ke hospital, pada Isnin, selepas secara tidak sedar makan gula-gula yang dicampur dengan ganja.
Menteri Pendidikan dan Belia Fayval Williams memberitahu CNN, berdasarkan laporan doktor, tiada seorang pun kanak-kanak yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun itu dalam keadaan kritikal.
“Gula-gula itu menyebabkan kanak-kanak terbabit muntah dan berhalusinasi,” katanya menerusi X, sambil menambah bahawa beberapa kanak-kanak menerima titisan intravena.
Menerusi ciapan di media sosial itu, menteri itu memaklumkan beliau melawat hospital tempat kanak-kanak terbabit menerima rawatan.
Katanya, doktor dan jururawat melaksanakan semua yang mereka boleh lakukan untuk memastikan mangsa dapat pulih.
Williams memuat naik gambar gula-gula itu, yang dalam bungkusan berwarna pelangi.
Pembungkusan menyatakan produk itu mengandungi Delta-8 tetrahydrocannabinol, juga dikenali sebagai delta-8 THC, bahan psikoaktif yang terdapat dalam tumbuhan Cannabis sativa, menurut laman web Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA).
Ia mempunyai “kesan psikoaktif dan memabukkan,” menurut agensi kawal selia Amerika Syarikat itu.
Menteri itu juga berkongsi gambar bungkusan gula-gula yang menunjukkan amaran kerajaan di bahagian belakang yang menyatakan, “jauhkan daripada kanak-kanak” dan “tidak boleh diambil oleh sesiapa yang berumur di bawah 21 tahun”.
Pembungkusan menyatakan produk itu tidak diluluskan oleh FDA.- AGENSI