Tumpuan :
Luar Negara

[VIDEO] 49 murid madrasah maut dalam nahas bot karam di Pakistan

 

PESHAWAR: Seramai 49 kanak-kanak maut apabila bot yang membawa penumpang melebihi muatan karam di bahagian barat laut Pakistan, menurut polis semalam selepas penyelam mengambil masa selama tiga hari untuk mengeluarkan mayat daripada tasik.

Kesemua kanak-kanak yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun itu adalah murid madrasah yang dibawa bagi lawatan sehari ke tasik Empangan Tanda Ahad lalu.

“Air di empangan itu membeku disebabkan oleh cuaca sejuk yang juga menyukarkan misi menyelamat. Namun, hari ini penyelam berupaya menyelam lebih dalam untuk mencari mayat yang lain,” menurut Khateer Ahmad, pegawai kanan pasukan Rescue 1122, semalam.

Orang ramai membawa jenazah pelajar yang maut selepas bot yang membawa penumpang melebihi muatan karam di Empangan Tanda. – FOTO: AFP

Mayat seorang guru dan nakhoda bot berjaya ditemui dan ditarik keluar dari tasik itu, katanya, sambil menambah angka korban kini meningkat kepada 51.

Muhammad Umar, seorang penjual teh di kawasan berkelah yang menghadap destinasi pelancongan popular pada hujung minggu itu, berkata berpuluh-puluh ibu bapa dan saudara-mara berkumpul di sana sepanjang beberapa hari lalu.

“Setiap kali mayat ditemui di tempat kejadian, mereka akan mengerumuni pasukan penyelam untuk melihat sama ada ia adalah anak lelaki mereka dan kami akan mendengar mereka menjerit dengan kesedihan,” katanya kepada AFP menerusi panggilan telefon semalam.

FOTO: AFP

“Saya tidak pernah menyaksikan detik sebegitu dalam hidup saya, ia sesuatu yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.”

Tasik Empangan Tanda terletak sekitar lima kilometer daripada sekolah madrasah itu – sebuah sekolah pesantren yang menawarkan pendidikan agama secara percuma – di Kohat di daerah Khyber Pakhtunkhawa.

Jurucakap polis, Fazal Naeem mengumumkan angka korban terkini semalam selepas selesai misi menyelamat itu. Ia disahkan oleh cabang media pasukan tentera.

“Bot itu terlalu sarat dengan penumpang; ia hanya dapat menampung sekitar 20 hingga 25 orang saja,” kata Naeem kepada AFP.

Beliau menambah, lima individu dapat diselamatkan termasuk empat murid dan seorang guru.

FOTO: AFP

“Saya terperangkap di bawah bot itu,” kata Muhammad Mustafa, 11, kepada AFP apabila ditemui di katil hospital Ahad lalu.

“Saya terpaksa menanggalkan selendang dan baju sejuk saya untuk menyelamatkan diri.

“Air terlampau sejuk dan tubuh saya menjadi kebas. Saya fikir saya akan pengsan apabila seorang lelaki yang berpaut pada tiub kembung menyelamatkan saya,” katanya. – AFP

Loading...
Terkini