DOUALA : Kapal kargo pukal Amerika Syarikat (AS) diserang dan tiga anak kapalnya termasuk kapten diculik di luar pantai Gabon di Teluk Guinea
“Tiga anak kapal diculik semalam apabila Grebe Bulker, sebuah supramax yang dibina pada 2010 milik Eagle Bulk, diserang lanun sejurus selepas tengah malam di Owendo Anchorage di Gabon,” lapor Agensi Anadolu memetik Geneva Dry, persidangan perkapalan komoditi utama dunia.
Sementara itu, 17 anak kapal lain dilaporkan selamat semasa serangan itu.
Tiga anak kapal yang diculik adalah kapten dan pegawai kedua dan ketiga, menurut Bilik Krisis Antarabangsa 360, sebuah platform pengurusan risiko dan krisis.
“Mereka diculik oleh lelaki bersenjata yang tidak dikenali,” menurut sumber yang enggan namanya disiarkan.
Pihak berkuasa tempatan menghantar bot peronda dua jam setengah selepas serangan itu, lapor media tempatan.
Teluk Guinea, laluan maritim antara Senegal dan Angola sudah sekian lama menjadi lokasi kegiatan lanun.
Menurut PBB, bagaimanapun, kegiatan lanun maritim telah menurun sejak April 2021. – BERNAMA-ANADOLU