AMERIKA SYARIKAT: California dijangka terus mencatatkan penurunan suhu dengan wilayah selatannya dijangka mencecah paras beku selepas dilanda ribut salji luar jangkaan.
Lapor media CNN, lebih 100,000 kediaman dan premis perniagaan terputus bekalan elektrik.
Salji tebal dan angin kencang boleh menyebabkan jarak penglihatan jatuh hampir kepada sifar di kawasan terjejas.
Susulan itu amaran perjalanan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya.
Kawasan tanah tinggi di Tasik Big Bear di selatan California menyaksikan taburan salji sehingga lebih 100 sentimeter dalam tempoh tiga hari.
Di kawasan lain pula, hujan lebat mencetuskan banjir kilat sehingga menyebabkan pengguna jalan raya terkandas.
Menjelang lewat malam, amaran berjaga-jaga dikekalkan kepada kira-kira sejuta penduduk di Los Angeles, Glendale dan Santa Clarita.
Sebahagian kawasan rendah di California juga dijangka berdepan hujan sehingga esok . – CNN