SEOUL: Tinjauan kerajaan pada Rabu mendapati kira-kira satu daripada 20 golongan belia di Seoul hidup terasing dari masyarakat disebabkan isu pengangguran atau masalah mental.
Dianggarkan 4.5 peratus, atau kira-kira 129,000 penduduk Seoul berumur antara 19 dan 39 tahun hidup terasing dari masyarat, lapor agensi berita Yonhap memetik tinjauan yang dilaksanakan kerajaan terhadap 5,513 warga Seoul pada tahun lepas.
Berdasarkan tinjauan berkenaan, responden menyatakan tiga punca utama yang menyebabkan pengasingan sosial ialah masalah pengangguran atau kesukaran mencari pekerjaan sebanyak 45.5 peratus, masalah psikologi (40.9 peratus) dan masalah dengan individu lain (40.3 peratus).
Lebih 62 peratus golongan muda yang hidup terasing berkata mereka mengalami masalah emosi dengan ahli keluarga, manakala hampir 58 peratus berkata keluarga mereka berdepan masalah ekonomi dan 57 peratus berkata mereka dibuli di sekolah.
Tinjauan itu juga mendapati bahawa 28.1 peratus responden hidup terasing dalam tempoh kurang tiga tahun, manakala 16.7 peratus menyatakan mereka hidup berseorangan lebih daripada tiga tahun dan 11.5 peratus melebihi 10 tahun.
Jenis sokongan yang paling banyak diperlukan dalam tinjauan itu ialah bantuan ekonomi sebanyak 57.2 peratus, program hobi atau sukan sebanyak 44.7 peratus dan peluang pekerjaan atau belajar sebanyak 42 peratus. – BERNAMA