DUNGUN: Seorang pelajar hilang dihanyutkan air deras ketika mandi bersama empat rakannya di Sungai Dungun, Kampung Rajawali, dekat sini, petang tadi.
Mangsa iaitu Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, dikatakan mandi bersama Muhammad Qhalish Iman Hazimi, 12, Muhammad Aqil Shafie, 12, Wan Adip Hakimi Wan Ahmad, 12, kira-kira jam 6 petang manakala seorang lagi rakannya, Raja Muhammad Anas Raja Ibrahim, 12, berada tidak mandi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan, Ahmad Shafiki Hussin berkata, sebelum kejadian, mangsa berjalan dari darat ke tebing pasir dalam jarak kira-kira 30 meter.
Menurutnya, sebaik semua mereka mula kembali ke darat, air sungai tiba-tiba naik dengan cepat.
“Dua daripada rakan mangsa sempat berenang naik ke darat dan mengambil pelampung untuk menyelamatkan dua rakan mereka.
“Muhammad Qhalish berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada pelampung manakala mangsa gagal diselamatkan sebelum tenggelam ke dasar sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini.
Ahmad Shafiki berkata, kesemua mangsa yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Pulau Serai kemudiannya meminta bantuan daripada penduduk sekitar.
“Polis yang menerima laporan bersama sepasukan anggota polis dan bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Keadaan arus ketika itu sangat deras dan kita berharap supaya mangsa tidak hanyut jauh dari lokasi kejadian,” katanya.
Menurutnya, seramai 32 anggota polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam APM, dengan bantuan penduduk kampung melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mangsa.
“Setakat jam 10.45 malam, mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari sedang giat dilakukan,” katanya. – HARIAN METRO