![](https://media.buletintv3.my/2022/11/N1wrGcfr-pp-cms-10.jpg)
Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Semua peniaga mahupun pembekal diberi amaran agar tidak menjual jersi tiruan bagi mengelak dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, 340 kes rampasan pakaian tiruan direkodkan di seluruh negara membabitkan nilai rampasan berjumlah RM5.81 juta.
“KPDNHEP melaksanakan pemantauan ke atas penjualan jersi tiruan di seluruh negara bersempena kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2022 yang bakal berlangsung pada 20 November sehingga 18 Disember ini.
“Tindakan penguatkuasaan melibatkan pelbagai jenis barangan lain juga dijalankan antaranya melibatkan makanan dan minuman, kosmetik, bahan petroleum, barang elektrik, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, perkakasan komputer dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pemilik cap dagang berdaftar bagi memastikan setiap aduan dan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan termasuk aktiviti penjualan barang tiruan secara dalam talian.
Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun.
Bagi suatu pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan yang disyaki tiruan.
“KPDNHEP akan mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas tanpa kompromi di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 kepada mana-mana individu atau syarikat yang didapati bersalah dalam membekal dan menjual barangan tiruan atau menyediakan dan menyewakan premis bagi tujuan aktiviti penjualan barangan tiruan,” katanya.
Azman turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa berhati-hati di dalam melakukan pembelian termasuk secara dalam talian agar tidak mudah terpedaya serta tidak menyokong penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan menjejaskan keselamatan pengguna itu sendiri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penjualan barangan tiruan boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; emel [email protected] atau Ez ADU KPDNHEP.