MERSING: Seorang dilapor hilang selepas dikhuatiri hanyut dibawa arus banjir bersama kereta dipandunya di Jalan Nitar Utama, di sini, awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 pagi dengan mangsa yang berusia 23 tahun itu dipercayai terperangkap dalam Perodua Myvi dipandunya.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba Abdul Muiz Mukhtar, sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi sebaik pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu.
“Setibanya di lokasi, pasukan operasi gagal menemukan sebarang tanda keberadaan mangsa di tempat kejadian.
“Pasukan kemudian melakukan pencarian di sekitar kawasan FELDA Nitar 1 dan FELDA Nitar 2, di mana mangsa dipercayai terbabas ke tebing jalan.
“Ketika kejadian, paras air di atas laluan kira-kira 1.2 meter,” katanya ketika dihubungi.
Sehingga kini operasi mencari mangsa masih digerakkan membabitkan lapan anggota dari BBP Mersing dan tiga anggota BBP Endau bersama lima jentera termasuk bot.