Tumpuan :
Kemalangan

Van Kilang Terbabas, 10 Pekerja Cedera

Oleh Selwam Arjunan

JURU: Sepuluh pekerja kilang termasuk seorang pemandu cedera selepas van dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kilometer (KM) 151.4 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Bukit Tambun, di sini, pagi tadi.

Tiga orang cedera parah, manakala tujuh lagi mengalami kecederaan ringan, sementara tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Pegawai Bomba Kanan Azhar Samsudin berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.38 pagi.

Katanya, setiba di lokasi sebuah van didapati terbabas dan melanggar tiang di bahu jalan.

“Insiden itu menyebabkan pemandu van tersepit di dalam kenderaan, dua mangsa patah anggota badan, manakala tujuh lagi mangsa cedera ringan.

“Pasukan penyelamat bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan mangsa yang tersepit dapat dikeluarkan pada jam 7.34 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua mangsa terbabit diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan susulan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.47 pagi dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Loading...
Terkini