Tumpuan :
Kemalangan

Tragedi sambut tahun baharu, seorang pelajar maut

Mohamad Farhan Hakimi maut dalam kemalangan di Jalan Tun Abdul Razak, Melaka, awal pagi tadi. FOTO: Ihsan polis

MELAKA: Kegembiraan dua sahabat meraikan ambang tahun baharu 2024 berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas motosikal ditunggangi bergesel sesama sendiri awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata kemalangan berlaku pada kira-kira jam 4.40 pagi di Jalan Tun Abdul Razak ketika mangsa, Mohamad Farhan Hakimi Mohd Rasidi,19, dan rakannya yang berusia 17 tahun masing-masing menunggang Yamaha Y15ZR serta Yamaha 135LC menuju pulang ke rumah di Taman Muzaffar Shah, di sini.

Katanya, Mohamad Farhan Hakimi yang juga pelajar Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mushi Abdullah, maut di tempat kejadian, manakala rakannya yang juga pelajar Tingkatan 5, SMK Ayer Keroh tidak cedera.

“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa menunggang dari arah sama iaitu dari jejambat Kota Cemerlang menuju ke lampu isyarat Taman Muzaffar Shah dengan Mohamad Farhan Hakimi berada di hadapan lorong sebelah kiri.

“Kemalangan berlaku apabila Mohamad Farhan Hakimi tiba-tiba menukar haluan ke lorong kanan ketika cuba dipintas rakannya menyebabkan motosikal mereka bergesel hingga dia terbabas lalu tercampak jatuh di atas jalan dan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Christopher berkata, siasatan lanjut kes itu masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengetahui punca kemalangan dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Tiada rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kita meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini