ALOR GAJAH: Seorang kelindan maut manakala pemandunya parah ekoran lori muatan kicap yang dinaiki mereka terbalik selepas tayarnya pecah serta tercabut sebelum dirempuh sebuah lagi lori di Kilometer 212.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) di sini hari ini.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, mangsa, K.K. Gunalan, 48, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Pemandu lori kicap terbabit, Moritin Bulahong, 25, parah akibat cedera teruk di muka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, mayat Gunalan dibawa di Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala Moritin menerima rawatan di Hospital Melaka.
Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua kenderaan berat terbabit dalam perjalanan dari arah Seremban ke selatan.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila tayar lori yang membawa muatan kicap meletup dan tercabut menyebabkan pemandunya hilang kawalan serta terseret dari lorong kiri hingga ke kanan lalu terbalik.
“Sebuah lagi lori yang membawa muatan bateri kereta yang datang dari arah sama di lorong tengah cuba menggelak lori kicap itu namun terlanggar di bahagian sebelah sisi kiri lori kicap terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, kata Arshad, pemandu lori bateri terbabit, Norafendi Mohamad Husaini,
35, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kejadian itu mengakibatkan ratusan botol kicap berselerakan di atas jalan.
“Kenderaan yang terlibat dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di sini untuk pemeriksaan kerosakan,” katanya.
Kemalangan terbabit, ujarnya, disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.