Tumpuan :
Kemalangan

[VIDEO] Suami, isteri maut kemalangan, anak  parah di kepala

 

BALING: Sepasang suami isteri terbunuh manakala anak mereka berusia dua tahun parah selepas van jenis Nissan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 41.02 Jalan Kulim/Baling/Grik, di sini malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Saiful Azmi Razali, 35, dan isterinya, Sailulhayati Mat Isa, 36, manakala anak mereka, Amar Rizqi Saiful Azmi, 2, terbakar pada kulit tangan sebelah kiri dan cedera di kepala.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu yang juga seorang guru dari Kupang, di sini pula mengalami luka di muka.

Van dinaiki tiga sekeluarga terbabas menyebabkan pasangan suami isteri maut di Kilometer 41.02 Jalan Kulim/Baling/Grik, malam tadi. -FOTO: Ihsan PDRM

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat berkata, nahas dipercayai berlaku jam 10.15 malam tadi .

Beliau berkata, hasil siasatan awal, kemalangan didapati berlaku dari arah Baling menghala ke Kulim.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, van yang dinaiki tiga sekeluarga itu dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar tembok jambatan di sebelah kiri jalan.

“Kejadian itu menyebabkan van itu berpusing dan pada masa yang sama kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki yang berada di belakang van berkenaan tidak sempat mengelak dan terlanggar di bahagian hadapan sebelah kiri.

“Akibat kemalangan itu, pemandu van terbabit dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, penumpang hadapan van itu iaitu isteri mangsa dipercayai meninggal dunia sewaktu dirawat di Unit Kecemasan Hospital Kulim (HK).

Anak lelaki pasangan itu serta dan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Mayat mangsa dan isterinya dihantar ke Unit Forensik HK untuk tujuan bedah siasat yang akan dilakukan pagi hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini