KULAI: Polis sedang menunggu keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti seorang lagi mangsa yang turut terbakar dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, dekat Sedenak, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata keputusan ujian itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.
Katanya, pihak Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai membuat ujian pemadanan DNA satu keluarga yang mengesyaki mangsa terbabit adalah ahli keluarga mereka.
“Pagi tadi, satu keluarga datang ke Hospital Kulai untuk membuat ujian pemadanan DNA bagi memastikan mangsa terbabit adalah ahli keluarga mereka.
“Sampel DNA keluarga itu sudah diambil untuk rujukan pihak hospital. Setakat ini, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan gagal dibuat pengecaman. Jadi, kita perlu menunggu keputusan DNA mangsa berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pada malam kelmarin, dua mangsa dalam dua kereta berasingan yang parah di bahagian dada dan kepala mati terbakar dalam insiden kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk dua lori.
Kemalangan itu menjadi tular di media sosial selepas satu video seminit 37 saat menunjukkan sebuah kereta marak terbakar dengan suara seorang suami meraung memaklumkan isterinya berada dalam kenderaan dengan api sedang marak.
Identiti mangsa pertama dikenal pasti sebagai Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, yang maut dalam kemalangan ngeri itu. – BERITA HARIAN